Oleh : Dr (HC). Tenas Effendy
1. Pengenalan
Bagi orang Melayu, pantun sudah
mendarah daging. Mereka bukan sahaja arif menyemak makna yang terkandung di
dalam pantun, tetapi banyak pula yang mahir berpantun. Pada masa silam, pantun
memegang peranan penting dalam menyebarluaskan nilai-nilai asas kemelayuan.
Oleh sebab itu, pantun dijadikan media tunjuk ajar yang diwujudkan ke dalam
beragam jenis pantun, seperti: pantun
adat, pantun
nasihat, pantun kelakar, pantun
sindir-menyindir dan pantun
berkasih sayang.
Dalam kehidupan bermasyarakat, pantun
sering ditampilkan dalam berbagai-bagai kegiatan, baik dalam upacara
adat dan tradisi, maupun dalam pembicaraan sehari-hari. Orang tua-tua sudah
“terbiasa” menyelangi percakapannya dengan pantun. Kalau arah pembicaraan
kepada nasihat, maka pantun-pantun nasihat akan meluncur dari mulut mereka.
Bila percakapan bersifat kelakar dan senda gurau, pantun kelakar atau pantun
sindir-menyindir akan dilantunkan. Begitulah seterusnya, sehingga pantun selalu
terangkat ke permukaan dengan berbagai pesan moral yang menjadi isinya. Hal ini
semakin mendorong orang Melayu untuk mampu berpantun, agar tidak “malu” dalam
percakapan, atau supaya dapat menjawab pantun dengan pantun pula.
Walaupun berpantun tidak menjadi kewajipan
bagi masyarakat Melayu, tetapi kerana banyak digunakan, menyebabkan orang
merasa memiliki dan berupaya agar mampu berpantun dan memahami makna yang
terkandung di dalamnya.
Di dalam ungkapan dikatakan:
Di mana orang berhimpun
di sana pantun dilantun
Di mana orang berbual
di sana pantun dijual
Di mana orang berhelat
di sana pantun diingat
Di mana orang berkampung
di sana pantun bersambung
Di mana orang beramai
di sana pantun dipakai
Di mana ada nikah kahwin
di sana pantun dijalin
Di mana orang berunding
di sana pantun bergandeng
Di mana orang bermufakat
di sana pantun diangkat
Di mana ada petuah
di sana pantun ke tengah
Di mana ada dakwah
di sana pantun disurah
Di mana adat dibilang
di sana pantun diulang
Di mana adat dibahas
di sana pantun dilepas
Di dalam ungkapan dikatakan:
Di mana orang berhimpun
di sana pantun dilantun
Di mana orang berbual
di sana pantun dijual
Di mana orang berhelat
di sana pantun diingat
Di mana orang berkampung
di sana pantun bersambung
Di mana orang beramai
di sana pantun dipakai
Di mana ada nikah kahwin
di sana pantun dijalin
Di mana orang berunding
di sana pantun bergandeng
Di mana orang bermufakat
di sana pantun diangkat
Di mana ada petuah
di sana pantun ke tengah
Di mana ada dakwah
di sana pantun disurah
Di mana adat dibilang
di sana pantun diulang
Di mana adat dibahas
di sana pantun dilepas
Luasnya peluang untuk berpantun menyebabkan
orang mempersiapkan diri untuk dapat berpantun, baik mencipta pantun sendiri
maupun menghafal pantun yang sudah ada. Semakin tua umur orang itu, semakin
tinggi status sosialnya apalagi sebagai pemangku dan pemuka adat, atau orang
yang dituakan oleh masyarakat, semakin banyak ia menguasai pantun.
Setidak-tidaknya sebagai pemangku atau pemuka adat ia harus menguasai “pantun
adat” atau sebagai orang yang dituakan, ia harus menguasai “pantun tunjuk ajar”
dan seterusnya.
Demikian pula halnya dengan para remaja,
mereka dituntut mampu berpantun, agar tidak menjadi bahan ejekan atau tertawaan
dalam pergaulan, terutamanya dalam kesempatan untuk “berbalas pantun” di
kalangan mereka sendiri. Dalam ungkapan dikatakan: kalau takut
mendapat malu, pantun memantun hendaklah tahu.
Orang tua-tua menjelaskan bahawa dahulu
setiap orang Melayu sejak meningkat remaja sudah dibiasakan mengikuti
barbagai-bagai kegiatan pantun-memantun, baik yang dilakukan di lingkungan
remajanya, maupun yang lain. Dalam setiap kesempatan, mereka mendapat peluang
untuk turut “menjual” dan “membeli” pantun, sehingga kreativitinya dalam pantun
memantun dapat berkembang, dan keberaniannya untuk tampil di depan umum semakin
kukuh.
Sekarang apakah “pantun-memantun” masih
tetap kukuh dalam kehidupan orang Melayu? Secara sekilas, tampaknya tradisi itu
masih ada, walaupun tidak seperti masa silam. Dalam kegiatan upacara adat dan
tradisi (misalnya upacara
perkahwinan adat) serta dalam kegiatan lain, termasuk musyawarah adat,
pantun masih banyak dipakai dan masih menjadi semacam kebanggaan bagi
masyarakat. Berdasarkan pengamatan di lapangan, walaupun hakikatnya pantun
memantun masih hidup dan digemari masyarakat, namun pewarisnya terasa amat
menurun. Generasi muda Melayu nampaknya kurang berminat untuk mempelajari
pantun secara penuh dan kurang berminat pula untuk mewarisnya secara utuh.
Sebahagian besar anggota masyarakat
sekarang menganggap pantun hanya sebagai alat hiburan semata, tanpa menyedari
dan memahami keberagaman peranan pantun dalam kehidupan orang Melayu masa
silam. Oleh karena adanya anggapan demikian, tentulah generasi mudanya
menganggap pantun sebagai unsur kesenian hiburan, yang tidak memiliki
nilai-nilai luhur yang amat mendasar, yang seharusnya mereka warisi dan
kembangkan. Apabila pantun hanya dianggap sebagai alat hiburan, tentulah tidak
ada kewajiban moral untuk mewarisi apalagi mengambangkannya, kerana masa kini,
hiburan sudah teramat banyak, bahkan melebihi pantun berpantun.
Namun demikian, kita masih bersyukur kerana
dalam kurun terakhir ini, pantun mulai mencuat ke permukaan, terutama di
kalangan pejabat pemerintah dan organisasi kemasyarakatan. Pantun sudah sering
diangkat dalam pidato resmi, pantun sering pula dilantunkan dalam pertandingan
berbalas pantun, atau dalam upacara
perkahwinan adat di kota-kota dan sebagainya. Kegiatan ini tentulah
menjadi angin segar bagi kelangsungan hidup pantun. Yang perlu dibenahi lagi
adalah bagaimana orang benar-benar memahami bahawa pantun mengandung makna,
lambang dan nilai-nilai luhur yang amat berfaedah bagi kehidupan manusia.
Dengan pemahaman ini, orang tidak sahaja akan berminat untuk berpantun sebagai
hiburan atau peragaan, tetapi juga mampu menyerap dan menghayati nilai-nilai
luhur yang terkandung di dalamnya. Kesedaran ini diharapkan dapat menggugah
generasi Melayu khususnya dan generasi di luar puak Melayu untuk mewarisi
pantun secara utuh dan benar, yang dapat menyebarluaskan pesan-pesan moral
serta nilai-nilai luhur yang dikandungnya. Dengan demikian, pantun tidak lagi
dipandang hanya sebagai alat hiburan saja, tetapi sebagai media yang bermanfaat
dan serbaguna dalam pengembangan kebudayaan bangsa serta pembentukan
kepribadian atau jati diri dalam arti luas.
Baca Juga :
Tunjuk Ajar Dalam Pantun Melayu - 2
Tunjuk Ajar Dalam Pantun Melayu - 3
Tunjuk Ajar Dalam Pantun Melayu - 4
Baca Juga :
Tunjuk Ajar Dalam Pantun Melayu - 2
Tunjuk Ajar Dalam Pantun Melayu - 3
Tunjuk Ajar Dalam Pantun Melayu - 4

