logo

Tunjuk Ajar Dalam Pantun Melayu - 4



4. Penutup
Ketentuan dan penyusunan rangkap pantun mencerminkan kearifan orang tua-tua Melayu, kerana mereka sudah memahami bahawa dalam berpantun, banyak orang yang melakukan kejanggalan atau kesalahan. Apalagi pemantun yang masih belajar. Kekeliruan itu dapat berupa kesalahan isi pantun (kerana menurutkan emosi berlebihan, perasaan yang tidak senang, dan seterusnya) dapat pula berupa cara penyampaiannya yang kasar langgar, kurang adab, kurang tersusun kalimatnya, dan lain-lain.
Dari sisi lain yang perlu diingat dan dicermati adalah dalam membuat pembayang pantun, banyak terjadi kejanggalan dan kekeliruan, kerana pembayang dibuat semata-mata untuk mencari kesamaan bunyi pada akhir ayat pantun. Padahal, pembayang mencerminkan kearifan kepiawaian orang Melayu dalam memahami perilaku alam sebagai latar, yang dijalin dengan penuh logika, wawasan, kewajaran, keindahan dan perpaduan yang masuk akal. Seorang pembuat pantun seharusnya memilih latar dan kata yang mengandungi nilai, tidak sekadar untuk “pelengkap” sahaja. Itulah sebabnya orang tua-tua mengingatkan membuat pembayang pantun hendaklah dengan akal dan santun; atau dikatakan membuat pembayang, akal nampak fahamnya panjang.
Dengan adanya ketentuan dimaksud, mereka terhindar dari ejekan atau cemuhan, dan terhindar pula dari prasangka buruk pendengarnya. Kalaupun mereka melakukan kejanggalan atau kekeliruan, hal itu dianggap wajar, dan perlu dimaafkan. Adanya saling pengertian ini menyebabkan pantun semakin berkembang dan merata, kerana melalui pantun dapat disampaikan berbagai isi hati dan nilai-nilai luhur serta dapat pula melepaskan perasaan secara terbuka dan bebas di depan khalayak ramai.
Kebebasan berpantun sudah dijamin oleh adat, sepanjang pelaksanaannya tidak menyimpang dari agama, adat, dan norma-norma sosial masyarakatnya. Orang tua-tua mengatakan hendak bebas diberi bebas, asal tidak lupakan diri.  
_______________________
Dr (HC). Tenas Effendy, adalah Budayawan Melayu Riau, pernah menjabat sebagai Ketua Majelis Kerapatan Adat, Lembaga Adat Melayu Riau. Beliau juga sebagai pendiri dan penasehat Tenas Foundation.
Kredit foto : Buku-buku tentang Pantun Melayu tulisan Tenas Effendy yang telah diterbitkan oleh Balai Kajian dan Pengembangan Budaya Melayu.




© 2006-2020 Adicita Karya Nusa

Tags

terimakasih centil

dkdteraspunak.com is created for your interest and in our interest as well as a website and social media sharing info Interest and Other Entertainment.